Hasrat dan dasar Kerajaan Negeri melalui anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) adalah menyediakan ruang kediaman untuk keselesaan pada semua golongan rakyat Kelantan terutama bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Projek Perumahan PKINK di bandar Jeli ini adalah di atas tanah milik PKINK seluas 20.861 ekar berhampiran jalanraya utama Jeli, Kuala Balah- Dabong- Gua Musang.
Lokasi projek ini begitu strategik kerana ia berdekatan dengan pusat pembangunan ekonomi dan pentadbiran jajahan Jeli yang meliputi pasar, stesen kereta sewa, masjid, sekolah dan bangunan pejabat-pejabat Kerajaan yang lain.
Menurut Menteri Besar, Dato’ Nik Abd Aziz Nik Mat, usaha ini juga adalah selaras dengan dasar kerajaan negeri Kelantan yang memulakan dan mempelopori projek perumahan 3 bilik kepada rakyat Kelantan. Langkah ini adalah bertujuan menjadikan rumah lebih hampir kepada tuntutan Islam dan keperluan penghuninya. Ini kerana ajaran Islam menuntut kita agar mengasingkan tempat tidur anak-anak lelaki dengan perempuan apabila sampai peringkat umur tertentu.
“Saya difahamkan bahawa komponen keseluruhan cadangan projek perumahan ini merangkumi sebanyak 302 lot dengan pecahan, 120 unit Rumah Teres 1 Tingkat (kos sederhana), 85 unit Rumah Teres 1 Tingkat (kos sederhana tinggi), 84 unit Rumah Teres 2 Tingkat dan 13 Rumah Kedai 2 Tingkat.
“Pemajuan untuk Fasa 1A akan dimulakan pada bulan ini dengan pembinaan 80 unit Rumah Teres 1 tingkat dengan harga jualan dari RM80,000 seunit dan nilaian jualan dijangka berjumlah RM6.557 juta.
Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Wan Yahaya Wan Salleh, bahawa lokasi perumahan yang amat strategik iaitu di tengah pusat bandar Jeli yang berhampiran dengan pusat perdagangan dan pentadbiran Kerajaan, sudah tentu projek ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di sekelilingnya dan merancakkan lagi pertumbuhan dan pembangunan Pusat Bandar Jeli.
“Dengan usaha yang berterusan dan sokongan semua pihak terutama pihak Kerajaan Negeri, PKINK berkemampuan dan berkeyakinan untuk melaksanakan projek-projek pembangunan hartanah yang baru di masa hadapan, bukan sahaja di Jajahan Jeli, malah di semua Jajahan di negeri Kelantan”.
No comments:
Post a Comment