Monday, July 27, 2009

BERTANI SATU IBADAH

DASAR BERTANI SATU IBADAH DALAM PEMBANGUNAN
SEKTOR PERTANIAN NEGERI KELANTAN


’BERTANI SATU IBADAH’ merupakan slogan pelengkap kepada slogan di peringkat nasional iaitu ”PERTANIAN ADALAH PERNIAGAAN”. Ia sebagai pendorong utama ke arah peningkatan produktiviti dan kemajuan sektor pertanian negeri Kelantan ke arah merealisasikan visi menjadikan ”Kelantan Jelapang Makanan Negara pada tahun 2015”.

Dasar Pertanian Negeri Kelantan memberi penekanan kepada pembangunan dan pertumbuhan sektor pertanian komersil dan industri berasaskan pertanian, dan pembangunan tanah terbiar ke arah menjadikan Negeri Kelantan sebagai " Jelapang Makanan Negara".

Visi menjadikan Kelantan Jelapang Makanan Negara 2015 mempunyai tiga komponen penting untuk menjadikan Kelantan cemerlang dan mengungguli bidang makanan di negara Malaysia. Untuk mencapai visi ini, seluruh tenaga dan komitmen pemimpin dan semua pihak berkepentingan adalah diperlukan bagi menggerakkan perancangan strategik ini. Tiga komponen itu ialah:

(a). Jelapang : Kelantan akan menjadi pengeluar terbesar makanan di Malaysia. Komponen ini akan menggerakkan seluruh sektor pertanian untuk lebih agresif dan mampan, memanfaatkan bumi Kelantan untuk memberi sumbangan terbesar dari segi pengeluaran pertanian KDNK di Malaysia.

(b). Makanan : Dengan pertumbuhan penduduk dunia yang bertambah dan gaya pemakanan yang telah banyak berubah maka makanan menjadi satu isu yang sangat penting untuk keharmonian sesebuah negara.Terutamanya dari segi keselamatan,kebersihan, kualiti dan halal. Makanan juga akan menentukan kesejahteraan dan kesihatan rakyat negara ini.

(c). Negara : Malaysia mensasarkan untuk mengurangkan pergantungan import makanan. Dengan usaha Kelantan untuk menjadi Jelapang Makanan Negara maka ia akan memberi sokongan yang kuat ke arah pencapaian sasaran tersebut.

Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) telah digubal untuk meningkatkan daya saing sektor pertanian dan meningkatkan sumbangan pertanian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Dalam usaha untuk menjadikan sektor pertanian sebagai satu bidang yang berdaya saing dan diceburi ramai, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) telah memperkenalkan slogan ”PERTANIAN ADALAH PERNIAGAAN”.

1. OBJEKTIF ’BERTANI SATU IBADAH’

Slogan ’BERTANI SATU IBADAH’ ini merupakan satu pendekatan bagi mencapai objektif seperti berikut :-

(a). Melahirkan masyarakat tani yang menghayati Islam dan konsep ibadah dalam kehidupan dan pekerjaan seharian mereka.

(b). Memupuk minat rakyat untuk menceburi bidang pertanian dengan memanfaatkan segala sumber alam, potensi, dan tanah-tanah terbiar dengan pelbagai aktiviti pertanian seperti tanaman, ternakan, perikanan dan industri asas tani.

2. KONSEP ’BERTANI SATU IBADAH’

2.1 ’BERTANI SATU IBADAH’ adalah suatu slogan, idea dan usaha yang berpaksikan kepada asas-asas berikut :

(a). Kehidupan adalah pengabdian kepada Allah ;

(b). Pekerjaan sebagai satu bentuk ibadah kepada Allah SWT ;

(c). Falsafah manusia sebagai khalifah yang bertanggungjawab untuk memakmurkan bumi ;

(d). Kewajipan manusia mencapai kejayaan dalam semua bidang kehidupan.

2.2 ’BERTANI SATU IBADAH’ meletakkan ketuhanan sebagai paksi dalam pelaksanaan semua kegiatan, pekerjaan dan kehidupan manusia. Ianya menjelaskan bahawa seluruh kegiatan manusia adalah ibadah jika dilaksanakan berpandukan beberapa dasar utama berikut :

(a). Pekerjaan hendaklah yang dihalalkan syarak ;

(b). Diiringi niat yang baik dn ikhlas kerana Allah SWT ;

(c). Melakukan pekerjaan dengan bersungguh-sungguh, tekun dan sebaik-baik mungkin ;

(d). Menjaga batas-batas syariat Allah SWT dan menghormati dasar-dasar akhlak dengan tidak melakukan kezaliman, khianat, penipuan dan melampaui hak orang lain ;

(e). Pekerjaan yang dilakukan itu tidak menghalang daripada menunaikan ibadah khusus kepada Allah SWT seperti solat, puasa, zakat dan haji.

2.3 ’BERTANI SATU IBADAH’ bukan sekadar menyedarkan rakyat tentang nilai ibadah dan kepentingannya dalam kehidupan, malah akan menjadi asas bagi merangsang perubahan minda masyarakat secara menyeluruh sebagai dorongan dan penggerak utama ke arah kesungguhan dan peningkatan produktiviti kerja.


NILAI TERAS ’BERTANI SATU IBADAH’

3.1 Nilai teras kepada ’BERTANI SATU IBADAH’ ialah konsep Ubudiah (Pengabdian), Masu’liah (Pertanggungjawaban) dan Itqan (Kecemerlangan) yang menjadi sendi kepada dasar pentadbiran ’Membangun Bersama Islam’. ’BERTANI SATU IBADAH’ adalah suatu usaha berterusan untuk menerapkan konsep Ubudiah, Masu’liah dan Itqan (UMI) kepada semua lapisan masyarakat khususnya masyarakat tani yang terlibat secara langsung di dalam pembangunan sektor pertanian negeri Kelantan.

3.2 ’BERTANI SATU IBADAH’ akan memberi penekanan kepada intisari dan falsafah UMI dalam melahirkan masyarakat tani yang mengamalkan Islam dalam kehidupan mereka dan menjana kecemerlangan kemajuan sektor pertanian. Penerapan dan penghayatan falsafah ini dengan ikhlas dan penuh keazaman akan melahirkan masyarakat tani yang mengamalkan etika kerja seperti berikut :

(a). Bekerja dengan azam mengabdikan diri kepada Allah ;

(b). Bekerja dengan ikhlas dan amanah ;

(c). Bekerja dengan tekun dan cekap ;

(d). Bekerja dengan semangat gotong-royong dan mesyuarah serta berpadu fikiran; dan

(e). Bekerja dengan matlamat kebahagiaan manusia sejagat.

MESEJ ’BERTANI SATU IBADAH’

4.1 ’BERTANI SATU IBADAH’ mengajak rakyat/petani untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, Tuhan Maha Pencipta melalui pemahaman tentang segala aktiviti berkaitan pertanian seperti proses kejadian tumbuhan, binatang ternakan dan alam semulajadi.

4.2 ’BERTANI SATU IBADAH’ mengajak rakyat/petani untuk memahami dan menghayati konsep dan falsafah Ubudiah dalam kehidupan seharian dan memastikan semua aktiviti yang dilaksanakan adalah sejajar dengan konsep ibadah dalam Islam.

4.3 ’BERTANI SATU IBADAH’ adalah suatu proses dakwah dan pendidikan. Ia berusaha mempastikan wujudnya pembawaan nilai-nilai ibadah dalam kehidupan seharian rakyat/petani lantas memupuk keperibadian individu unggul yang berjaya di dunia dan akhirat.

4.4 ’BERTANI SATU IBADAH’ mengajak supaya rakyat/petani melibatkan diri dalam kegiatan pertanian dengan memanfaatkan segala potensi, keupayaan dan sumber alam untuk bersama-sama menjayakan visi untuk menjadikan Kelantan Jelapang Makanan Negara.

4.5 ’BERTANI SATU IBADAH’ mengajak rakyat/petani supaya mendidik dan menyedarkan tiap individu, keluarga, jiran, masyarakat dan organisasi (kerajaan, swasta, sukarela) akan kepentingan mengamalkan nilai-nilai ibadah dalam kehidupan mereka.

4.6 ’BERTANI SATU IBADAH’ mengajak rakyat/petani supaya sentiasa bekerja dengan tekun, cekap, bersungguh-sungguh dalam pekerjaan dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki prestasi kerja.

5.1 Memacu Kejayaan Visi ‘Kelantan Jelapang Makanan Negara 2015’

5.11 Usaha memperkenalkan slogan ‘BERTANI SATU IBADAH’ adalah selari dengan visi untuk menjayakan Kelantan Jelapang Makanan Negara. Ini memandangkan dalam menjayakan visi tersebut, faktor manusia amat penting dan penentu kepada kejayaan visi tersebut di samping faktor-faktor lain.

5.22 BERTANI SATU IBADAH’ akan memberi penekanan kepada pembangunan insan iaitu para petani dan anggota masyarakat yang terlibat dalam pembangunan sektor pertanian. Kejayaan mencapai visi Kelantan Jelapang Makanan Negara 2015 bergantung besar kepada sikap dan komitmen para petani dan semua pihak berkepentingan dalam melaksanakan segala program pembangunan pertanian yang telah digariskan dengan keazaman dan kesungguhan bekerja yang tinggi.

5.23 ’BERTANI SATU IBADAH’ akan merangsang perubahan minda seluruh pihak terlibat dalam pembangunan sektor pertanian secara menyeluruh dan sistematik. Budaya kerja berteraskan ibadah menerapkan nilai-nilai positif seperti prinsip amanah, bertanggungjawab, tekun dan kerja berkualiti akan menjadi penggerak utama kepada pencapaian visi Kelantan Jelapang Makanan Negara 2015.

6.1 Mendorong Peningkatan Produktiviti Masyarakat Tani

6.1.1 ’BERTANI SATU IBADAH’ membina kekuatan melalui mekanisme dalaman yang menjadikan setiap usaha dan pekerjaan sebagai satu tuntutan agama dan ibadah yang mendapat ganjaran daripada Allah SWT di dunia dan juga akhirat. Mekanisma dalaman ini akan menjadi dorongan dan motivasi bagi setiap petani untuk bekerja dengan tekun dan sentiasa berusaha meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja mereka. Peningkatan produktiviti dan mutu kerja akan membantu memaksimumkan pendapatan para petani melalui pengeluaran hasil tani yang lebih banyak dan berkualiti.

No comments: