Friday, April 27, 2012

Berbuat kebajikan sebelum tutup mata

Ketika kita sedang sibuk dalam pergolakan politik dengan isu Bersih 3.0nya, pemansuhan PTPTNnya, menuntut pendidikan percumanya (lupakanlah dulu hal pergolakan ini) kerana ada yang lebih penting daripada itu..malah bencana kepada gelombang tsunami baru- baru ini juga adalah amaran daripada Allah s.w.t. Jabatan Meteorologi Malaysia menjelaskan bahawa negara sekarang sedang mengalami ‘monsun peralihan’ yang bermula pada awal bulan Mac lalu dan dijangka berterusan sehingga pertengahan sehingga hujung bulan April ini. Terdengar keluhan warga laut yang sumber pendapatannya terganggu dalam tempoh ini yang melibatkan ribut petir dan hujan lebat yang berlaku pada sebelah petang hingga awal malam di negeri-negeri pantai barat semenanjung. Cuaca juga dijangkakan lebih lembab disebabkan berlakunya perolakan yang lebih kuat di mana ia boleh meningkatkan aktiviti ribut petir pada sebelah petang dan lewat petang. Baru baru ini, hujan lebat lebih empat jam telah menenggelamkan beberapa jalan sekitar Kuala Lumpur dan beberapa kawasan di Selangor. Seorang kanak-kanak berusia 13 tahun turut terbunuh akibat tanah runtuh. Marilah sahabat semua, kita menghulurkan bantuan kepada mereka. Berbuat sumbanganlah kepada mereka yang memerlukan. Menjadikan setiap yang berlaku itu sebagai pedoman buat kita. Maut semakin merangkak memaut diri kita. Maka, berbuat kebajikanlah sebelum kita menutup mata.

Ruang buat hafiz hafizah selatan Thailand

Kebanyakan mereka bergelar al-Hafiz, di selatan Thailand rata-rata mereka hanyalah mengikuti pelajaran formal di pusat-pusat pengajian tempatan yang lebih dikenali sebagai sekolah pondok tradisional. Di mana saja, lebih-lebih lagi di wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam, iaitu Yala, Narathiwat dan Patani, sekolah pondok menjadi tempat mereka menghabiskan usia remaja dalam mendapatkan ilmu pengetahuan. Ramai dalam kalangan mereka kembali menjadi ustaz atau ustazah di sekolah yang sama. Mereka yang berkemampuan mungkin membuka pondok sendiri bagi memberikan ruang pembelajaran yang lebih baik kepada anak tempatan. Bantuan kerajaan, hanyalah kepada sekolah yang berdaftar dengan agensi berkaitan sahaja layak menerima secara bulanan dan tahunan. Namun, difahamkan terdapat juga bantuan berbentuk prasarana dan kemudahan. Jadi tidak pelik, masyarakat Selatan Thailand yang bergelar Al-Hafiz tidak ke mana-mana, hanyalah menjadi ustaz dan ustazah kampung sahaja. Keadaan ini tidak dinafikan, membuatkan mereka lebih mudah terpengaruh dengan anasir subversif dan berhaluan kiri yang menentang kerajaan kerana menganggap mereka diketepikan pembangunan sedangkan, golongan ini yang memilih untuk dianaktirikan kerajaan. Namun, mereka masih ada 'cahaya di hujung terowong' apabila kerajaan negara pimpinan negara Gajah Putih itu meminta kerjasama Kerajaan Malaysia mengadakan misi damai selatan Thailand. Atas sebab itulah, Malaysia bersedia menubuhkan Task Force 2010 (Malaysia) yang bekerjasama dengan Task Force 960 (Thailand) bagi merangka pelbagai program yang bertujuan membantu penduduk Islam di tiga wilayah yang bergolak berkenaan. Salah satu daripadanya memberikan pendidikan lebih formal kepada masyarakat antaranya melahirkan lapan pelajar Diploma Tahfiz Al-Quran di Pusat Islam Darul Quran, Kuala Kubu Baru selain kursus kejururawatan dan kursus kemahiran baik pulih enjin dan komputer. Bagaimanapun, apabila Task Force 2010 (Malaysia) ditamatkan pada 1 Januari 2010 lalu selepas tiga tahun tempoh diberikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam berakhir, pelajar ini masih dikendalikan kerajaan melalui Yayasan Kebajikan dan Pendidikan Asia Tenggara (Seaweed) yang diketuai bekas Ketua Pengarahnya, Tan Sri Wan Abu Bakar Wan Omar sebagai pengerusi. Usaha Task Force 2010 (Malaysia) itu bertujuan bagi memastikan, selatan Thailand akan mampu mempunyai golongan generasi belia yang berupaya untuk membantu masyarakat sendiri dan sekali gus mengelakkan mereka daripada terjebak dalam sebarang kegiatan yang tidak sihat. Tinjauan keadaan ketiga-tiga wilayah bergolak semasa mengikuti lawatan Task Force 2010 (Malaysia) dan Task Force 960 (Thailand) kira-kira empat tahun lalu mendapati lebih 500 pondok pengajian Islam di sana dikendalikan tanpa bantuan kerajaan. Hampir separuh daripada pondok-pondok berkenaan kelihatan terlalu usang dan meneruskan urusan pengajian dengan dana persendirian.

Relevankah jawapan Tun M tentang hudud?

Tun Dr Mahathir berkata, kita harus tahu apa hukum hudud. Yang pertamanya, hukum hudud ini ditentu oleh ahli-ahli Fiqah, ia tidak terdapat dalam alQuran, dalam alQuran ada hukum-hukum yang tidak begitu keras, seperti hukum hudud ciptaan ahli-ahli Fiqah. Sebab itu apabila kita mahu laksanakan sesuatu, kita harus rujuk kepada alQuran kerana itu punca, asas kepada agama kita dan kalau kita baca alQuran dalam bahasa yang kita faham, kalau kita baca dalam bahasa Arab mungkin kita tidak faham, walaupun bunyinya sedap tetapi kita tidak faham. Dalam bahasa sendiri kalau kita baca alQuran terdapat sekurang-kurangnya 43 ayat yang menegaskan apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil, dalam Islam yang diutamakan bukan hukuman itu, bukan saksi yang empat, tetapi hukuman yang adil. Kita hidup dalam masyarakat berbilang agama, ada pendapat yang disuarakan pihak yang mahu laksanakan hukum hudud ini di Malaysia, mereka kata hukum hudud ini akan dikenakan kepada orang Islam sahaja, orang bukan Islam tidak akan dikenakan hukum hudud. Apa akan jadi jika seorang orang Islam dan seorang orang bukan Islam melakukan satu jenayah mencuri, apabila kita hukum mereka, yang Islam kita potong tangan, yang bukan Islam kita masuk dalam jel selama dua bulan. Kalau kita tanya diri kita, apakah ini adil? Adilkah orang Islam putus tangan, orang bukan Islam masuk jel dua bulan, lepas itu bebas, adilkah? Dalam Islam hukuman mesti adil, kalau kita dapati kes rogol umpamanya, sebenarnya dalam surah mizan, tiada hukuman ini disebut apa yang dipanggil sebagai hukum hudud. Apabila seorang wanita dirogol, dia kenal siapa yang merogolnya, tetapi dia tidak dapat adakan empat orang saksi yang bebas daripada dosa besar untuk diberitahu kepada mahkamah bahawa dia telah dirogol oleh seseorang..oleh kerana dia tiada empat saksi, pertuduhan ini dianggap sebagai tidak betul. Dalam hudud ini kita ada denda atau hukum sebat sehingga 80 kali, kemudian kalau hamil dan melahirkan anak, dia dituduh berzina, dan tentunya hukuman bagi orang yang berzina ini tiada dalam al-Quran tetapi ahli Fiqah kata hukuman bagi orang berzina ini ialah rejam dengan batu sampai mati, adil kah mangsa rogol dibunuh, perogol dilepas semata-mata tiada empat orang saksi. Ini semua ditokok tambah. Sebab itu kita sanggup membelakangkan ajaran alQuran dan mengutamakan hukum yang amat berat ini. Sebab itulah jika ada cadangan untuk buat hukum hudud, mereka bukan bercakap tentang hukum Islam, tetapi ia adalah ciptaan mereka sendiri dan kita tidak dapat terima. Sumber: http://www.youtube.com