Monday, July 16, 2007

Membentuk dan Menambahkan rangkaian ICT ke peringkat antarabangsa


Pembukaan syarikat multimedia dan pusat teknologi akan dipertingkat dengan adanya seminar “Technopreneur Academy Programme” peringkat negeri Kelantan 2007 yang mampu membuka peluang peserta untuk mendalami bidang Inisiatif Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) ke peringkat antarabangsa.

Program yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi (MDC) ini telah dihadiri peserta dari pelbagai sektor seramai 200 orang.

Multimedia Development Corporation, Visual Extreme Sdn Bhd, SMI Success Partner dan Innovasia Sdn bhd adalah antara syarikat yang membentangkan kertas kerja dengan begitu teliti berasaskan kecanggihan bidang ICT yang mampu menarik minat peserta dalam bidang ini dengan lebih mendalam.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian dan Sumber Manusia, Zulkifli Mamat berkata, seminar yang bertujuan untuk membentuk kelompok syarikat multimedia atau IT Malaysia yang cukup kompetitif ini akan mampu mencapai taraf dunia.

Menurutnya lagi, wujudnya syarikat- syarikat multimedia yang baru, akan menjadi medan pertukaran maklumat perniagaan antara rakyat Kelantan dan luar secara sihat bagi membentuk rangkaian Inisiatif Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) untuk bersaing ke peringkat antarabangsa.

Seorang wakil peserta dari Irdina Engineering, Nik Sufian Nik Omar, 27, memberitahu bahawa dengan adanya seminar ICT ini peserta dapat menimba pengetahuan dari contoh projek dan yang lebih memfokuskan kepada bisnes.

“Modul- modul yang dibentangkan juga bertujuan membentuk sesebuah produk berasaskan pengetahuan am untuk development secara terus”.

Sunday, July 15, 2007

Sebelas Negara Rantau Asia Jalin Rangkaian Perniagaan Muslim

Program yang menumpukan sepenuhnya kepada perniagaan bertemakan forum Making Global business “Enhancing Innovative Partnership”
akan dihadiri seramai 200 orang yang diwakili oleh sebelas rantau asia yang kebanyakkannya merupakan ahli Asean Federation of Muslim Youth (AFMY).

Forum Rangkaian Perniagaan Muslim Antarabangsa kali kedua yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Kelantan dengan kerjasama Pupuk Nilai Murni Berhad dan Asean Federation of Muslim Youth (AFMY) yang akan berlangsung selama dua hari ini diwakili oleh negara asia termasuk Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Pakistan, Sri Lanka, Dubai (UAE), China, Bangladesh, Singapura dan Malaysia.

Menurut Ketua Eksekutif Pupuk Nilai Murni Berhad, Nazri Deraman berharap agar program ini dapat memberi peluang kepada ahli perniagaan untuk berdikari dan membuka peluang pekerjaan yang lebih baik di negeri asing.

“Sudah banyak program yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Kelantan bagi pembangunan sumber manusia dilaksanakan dan dapat di guna pakai ilmu yang disalur melalui program- program yang dilaksanakan.

“Pihak kami dengan berbesar hati telah menjemput usahsawan Arab yang berjaya, iaitu Marwan Fattal yang telah menjalankan perniagaannya di China ini untuk menjadi wakil pembentang kertas kerja sekaligus mengendalikan forum ini dengan pelbagai ilmu perniagaan yang dimilikinya melalui perniagaan peringkat antarabangsa”.

Sehubungan itu menurut beliau lagi, melalui program ini juga akan diadakan majlis menandatangani perjanjian Memorandum Of Understanding (MOU) diantara peniaga tempatan dan antarabangsa bagi merapatkan hubungan perniagaan sekaligus dapat menjalinkan perniagaan ke peringkat antarabangsa amnya.

Projek Perumahan Terulung di Bandar Jeli

Hasrat dan dasar Kerajaan Negeri melalui anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) adalah menyediakan ruang kediaman untuk keselesaan pada semua golongan rakyat Kelantan terutama bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Projek Perumahan PKINK di bandar Jeli ini adalah di atas tanah milik PKINK seluas 20.861 ekar berhampiran jalanraya utama Jeli, Kuala Balah- Dabong- Gua Musang.

Lokasi projek ini begitu strategik kerana ia berdekatan dengan pusat pembangunan ekonomi dan pentadbiran jajahan Jeli yang meliputi pasar, stesen kereta sewa, masjid, sekolah dan bangunan pejabat-pejabat Kerajaan yang lain.

Menurut Menteri Besar, Dato’ Nik Abd Aziz Nik Mat, usaha ini juga adalah selaras dengan dasar kerajaan negeri Kelantan yang memulakan dan mempelopori projek perumahan 3 bilik kepada rakyat Kelantan. Langkah ini adalah bertujuan menjadikan rumah lebih hampir kepada tuntutan Islam dan keperluan penghuninya. Ini kerana ajaran Islam menuntut kita agar mengasingkan tempat tidur anak-anak lelaki dengan perempuan apabila sampai peringkat umur tertentu.

“Saya difahamkan bahawa komponen keseluruhan cadangan projek perumahan ini merangkumi sebanyak 302 lot dengan pecahan, 120 unit Rumah Teres 1 Tingkat (kos sederhana), 85 unit Rumah Teres 1 Tingkat (kos sederhana tinggi), 84 unit Rumah Teres 2 Tingkat dan 13 Rumah Kedai 2 Tingkat.

“Pemajuan untuk Fasa 1A akan dimulakan pada bulan ini dengan pembinaan 80 unit Rumah Teres 1 tingkat dengan harga jualan dari RM80,000 seunit dan nilaian jualan dijangka berjumlah RM6.557 juta.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Wan Yahaya Wan Salleh, bahawa lokasi perumahan yang amat strategik iaitu di tengah pusat bandar Jeli yang berhampiran dengan pusat perdagangan dan pentadbiran Kerajaan, sudah tentu projek ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di sekelilingnya dan merancakkan lagi pertumbuhan dan pembangunan Pusat Bandar Jeli.

“Dengan usaha yang berterusan dan sokongan semua pihak terutama pihak Kerajaan Negeri, PKINK berkemampuan dan berkeyakinan untuk melaksanakan projek-projek pembangunan hartanah yang baru di masa hadapan, bukan sahaja di Jajahan Jeli, malah di semua Jajahan di negeri Kelantan”.