Sunday, August 26, 2007

Konvensyen Gerak Berdikari Pamer Pencapaian Usahawan IKS


Konvensyen Gerak Berdikari Kelantan 2007 adalah bersempena setahun penubuhan Gerak Berdikari Rakyat Kelantan. Ia adalah pencapaian daripada penganjuran pelbagai program yang dijalankan oleh Kerajaan di bawah perancangan Gerak Berdikari dalam mempamerkan segala pencapaian usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta pelaksanaan program yang membabitkan aktiviti mereka.

Program yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan melalui Jawatankuasa Khas Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana Negeri Kelantan dengan kerjasama Jabatan dan Agensi Kerajaan berkaitan ini adalah memberi peluang kepada semua pihak untuk memberi maklum balas bagi membolehkan Kerajaan membuat penambahbaikan terhadap program mendatang.

Pupuk Nilai Murni diberi tanggungjawab sebagai pengurus program yang akan mengendalikan pelaksanaan program dan aktiviti seperti yang dirancangkan sekaligus mengadakan sebahagian jualan untuk dimasukkan ke Tabung Bakti Gerak Berdikari yang akan mengumpulkan dana bagi membantu rakyat dengan menjalankan pelbagai kegiatan untuk berdikari.
Tema Gerak Berdikari Menerajui Kejayaan ini dipilih sebagai simbolik kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh program Gerak Berdikari khususnya dalam menggerakkan rakyat untuk berdikari dan berjaya melalui pelbagai kegiatan usahaniaga.

Satu forum “Gerak Berdikari Menerajui Kejayaan” selaras dengan tema program itu akan menampilkan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian dan Sumber Manusia, Zulkifli Mamat, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Desa Dr Nik Mazian dan seorang ahli perniagaan berjaya serta seorang ahli akademik yang akan membincangkan tentang pencapaian pelaksanaan Gerak Berdikari.

Sehubungan itu, seorang tokoh anak Kelantan yang berjaya akan dipilih untuk berkongsi pengalaman dan suka duka dalam mencapai kejayaan hidup. Program ini juga akan diselitkan pengiktirafan Anugerah Usahawan Berdikari yang akan diberikan kepada peserta-peserta program Galakan Pembangunan IKS Dun yang berjaya dengan menunjukkan peningkatan dalam perusahaan hasil bantuan yang diberikan oleh Kerajaan melalui peruntukan Gerakan Berdikari Rakyat Kelantan.

Disamping itu, program ini turut menyelitkan permainan kuiz yang mampu membakar semangat keusahawanan dan cintakan bidang perniagaan kepada sekolah yang terpilih. Keutamaan diberikan kepada sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan yang menyertai Program Usahawan Muda (PUM). Sekolah yang berjaya akan diberikan bantuan untuk menjalankan projek ekonomi dan perniagaan.

Ia juga turut menyediakan hiburan yang bersesuaian dengan menampilkan kumpulan nasyid UNIC dan pendikir tersohor Halim Yazid.

Mingguan Wasilah yang merupakan akhbar rasmi untuk program ini juga akan memberitakan maklumat program serta menghebahkannya kepada masyarakat tentang program ini. Beberapa naskah percuma juga akan diberikan kepada orang ramai yang berkunjung pada konvensyen yang diadakan pada 6,7 dan 8 september itu.

Menurut Ketua Eksekutif Pupuk Nilai Murni Berhad, Nazri Deraman, memberitahu, sambutan konvensyen ini menggabungkan empat portfolio bagi empat orang exco iaitu exco Zulkifli Mamat, Nik Mazian Nik Mohamad, Abdul Fatah Mahmood dan Hassan Mahamood.

“Ia juga melibatkan banyak pihak dan pelbagai agensi kerajaan sekaligus menampilkan buku gerak berdikari anugerah usahawan gerak berdikari 2007 yang mana melalui konvensyen gerak berdikari ini akan memberikan manfaat kepada rakyat dari segi ekonomi, ilmu usahawan dan hiburan yang berlandaskan syariat Islam.

“Melalui program ini juga penyediaan kaunter kerjaya dan peluang keusahawanan akan diadakan kepada syarikat-syarikat rakan strategik Gerak Berdikari seperti Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), MIDA, MARA, PUPUK Nilai Murni, rakan- rakan SUKSES seperti CIMB, Takaful Ikhlas Nilam Prima Sdn Bhd serta Persatuan Pemaju Perumahan (REHDA) untuk menawarkan peluang kerjaya dan perniagaan kepada orang ramai”.

Tokoh Ibu Bersandar Kepada Ketokohan Ibu Srikandi Islam

KOTA BHARU: Sesebuah keluarga dan masyarakat yang cemerlang tidak akan tercapai tanpa asuhan, didikan pimpinan dan tanggungjawab dari seseorang yang bergelar ibu.

Jesteru itu, sambutan hari ibu peringkat negeri Kelantan 2007 memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada jasa dan pengorbanan kaum ibu. Sekaligus sebagai satu usaha untuk mendidik masyarakat terhadap kepentingan tanggungjawab dan pengorbanan seseorang ibu diberikan penghargaan yang sewajarnya.

Menteri Besar Kelantan, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat memberitahu, program sambutan hari ibu ini memberi kesedaran kepada semua tentang tanggungjawab dan kewajipan seseorang ibu dalam membentuk sebuah keluarga dan masyarakat yang memenuhi tuntutan Islam.

“Ia juga memberi kefahaman kepada masyarakat tentang kedudukan wanita dan ibu serta peranannya dalam melahirkan keluarga dan masyarakat yang akan mengambil alih tanggungjawab kepimpinan masa hadapan.

“Saya sangat berbangga dengan pencapaian dan kualiti yang ada pada kaum ibu di seluruh negeri Kelantan diatas sumbangan serta jasa mereka yang banyak membantu melahirkan modal insan yang berkualiti dan cemerlang”, Katanya lagi di majlis anjuran Urusetia Pembangunan Wanita, Belia & Sukan Kerajaan Negeri Kelantan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan Abdul Fatah Mahmood pula berkata, program ini menerapkan kepada masyarakat tentang konsep ehsan kepada ibu bapa dalam usaha untuk melahirkan masyarakat yang penyayang, menghormati ibu bapa. Sekaligus meneruskan kesinambungan usaha dan komitmen kerajaan negeri dalam membentuk institusi keluarga sebagai mahligai sakinah.

“Kerajaan akan sentiasa menyokong dan membantu usaha yang dilakukan oleh mana- mana pihak didalam bentuk keharmonian rumahtangga bagi melahirkan ‘rumahtanggaku syurgaku’”.

Sebanyak lima kategori anugerah Tokoh Ibu Negeri Kelantan 2007 yang dianugerahkan kepada lima orang ibu cemerlang dari seluruh pelusuk negeri. Setiap kategori yang dimaksudkan itu bersandarkan kepada tokoh ibu dan srikandi Islam yang termasyhur dengan sumbangan masing- masing seperti yang disebutkan dalam sejarah Islam.
Tokoh Ibu Bekerja dimiliki oleh Hasiah Ismail, dengan menerima Anugerah Khadijah al-Khuwailid, manakala Anugerah Asma’ Abu Bakar kategori ibu Orang Kurang Upaya (OKU) pula dimiliki oleh Minah Jusoh. Tokoh Ibu armalah iaitu Anugerah Maryam Ummu ‘Isa dimiliki oleh Fatimah Hassan.

Penganugerahan bagi Tokoh Ibu Surirumah pula dimiliki oleh Wan Eshah Wan Abdullah Anugerah Aishah al-Humaira’ namun di wakilkan kepada anaknya Wan Azizon yang merupakan Senoir Federal Council di Jabatan Peguam Negara. Anugerah terakhir dimiliki oleh Nooraini Ismail, iaitu Anugerah Fatimah al-Zahra’ (Tokoh Ibu Anugerah Khas).

Apabila ditemui wakil mingguan wasilah, tokoh Anugerah khas, Nooraini Ismail, 38, menyatakan bahawa, lima orang anak yang menghidapi penyakit metabolik serta ketidakupayaan fizikal dan akal.

“Seorang daripada anak saya meninggal semasa masih bayi. Saya redha. Empat orang anak saya yang lain masih belajar di sekolah rendah dan menengah sekitar Tumpat.

“Penyakit anak-anak saya menunjukkan tanda seawal usia tiga bulan. Namun anak bongsu saya telah menunjukkan tanda dalam usianya 40 hari. Namun saya pasrah dengan ketentuan ilahi. Saya tidak pernah menyesal dengan kehadiran mereka malah mereka banyak mengajar saya erti kesabaran dan kasih sayang yang sebenar”, katanya.

Perbuatan PM Kurang Manis


KOTA BHARU: Program lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi Kota Bharu sempena merasmikan pecah tanah projek pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra kedua di Lembah Sireh, baru- baru ini tidak menjemput Menteri Besar Kelantan Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku tuan rumah bagi kerajaan negeri Kelantan.
Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat telah melahirkan rasa terkilan dengan perbuatan seumpama itu, yang menurutnya tidak manis sedangkan Tun Dr Mahathir Mohamad suatu ketika dahulu ketika merasmikan Jambatan Salor pada tahun 1990, telah menjemput beliau untuk ikut serta dalam perasmian projek berkenaan.
“Mengikut adat orang Melayu tidak manis apabila tuan rumah tidak diberitahu malah tidak dijemput apabila tetamu merasmikannya”, Katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Tarannum Antarabangsa Pertama dan Minggu Al- Quran di hotel perdana, disini.
Ketika menjawab mengenai jumlah cuti bersalin bagi kakitangan awam wanita, beliau berkata, Kelantan telah mendahului negeri lain dengan memberi cuti dua bulan dan akan bakal melaksanakan cuti iddah selama empat bulan 10 hari bagi kakitangan wanita yang kematian suami.
Menurut menteri besar mengenai cadangan wanita bekerja dapat pulang kerja lebih awal, beliau menjelaskan bahawa, semua kakitangan kerajaan negeri Kelantan balik sejam lebih awal pada bulan Ramadhan pelaksanaan ini sudah lama dilaksanakan.
“Tetapi sistem rehat pada bulan Ramadan bukan sistem Islam. Sistem itu daripada orang lain. Ini kerana bulan Ramadan berkepentingan untuk manusia memperolehi pahala dalam menjalani kehidupan di dunia”, katanya lagi.

Membudayakan Gaya Hidup Taqwa

KOTA BHARU: Karnival yang menjadi pemangkin dan sumber pencetus dalam penggunaan dan pengamalan produk halal bukan sahaja diambil kira dari aspek pemakanan, tetapi pada semua hal ehwal kehidupan termasuk pelbagai sektor.

Melalui carnival yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan ini juga, pengeluar produk halal akan berpeluang mempromosi dan meluaskan pasaran barangan serta seterusnya membantu menjana pertumbuhan perniagaan mereka selain mendapat sokongan daripada pengeluar dan pengusaha barangan pengguna Islam dan bukan Islam untuk menghasilkan produk halal.

Seminar halal dan kepenggunaan III, kursus sembelihan, konvensyen halal, forum halalan tayibba sedikit sebanyak mampu menarik masyarakat menimba ilmu pengetahuan dalam pengambilan kepada makanan halal.

Penganjuran program selama seminggu yang menghimpunkan pelbagai acara seperti pameran dan jualan barangan halal, pertunjukkan seni silat, persembahan nasyid Akhil Hayy dan Hijjaz, pertunjukkan fesyen busana muslimah, pertunjukkan kebudayaan: gasing terbang, pertunjukkan tomoi, persembahan dikir barat, pertunjukkan kereta dan kawalan kapal terbang kawalan jauh, serta seminar kefahaman undang- undang syariah juga menyerikan lagi penganjuran karnival ini.

Menurut Dato’ Nik Ab Aziz Nik Mat, bagi merealisasikan acara bermakna ini, mencari halal satu kefardhuan yang diguna pada tahun ini sekaligus mengangkat tema ‘mencari halal sebagai satu kefardhuan’ sepertimana pada tahun lepas yang lebih bersesuaian dan bertepatan dengan perintah Allah dan sunnah Rasulullah s.a.w.

Beliau yang memetik kata- kata Ibn Khaldun, bahawa manusia memerlukan makanan untuk hidup tetapi makanan tersebut tidak dapat dihasilkan tanpa melalui beberapa proses yang melibatkan pengembelengan tenaga kerja sesama manusia serta penggunaan alat- alat tertentu, sekaligus kemahiran di dalam hal tersebut termasuk dalam tuntutan fardhu kifayah.

“kita bukan sahaja memerlukan sumber makanan yang halal sahaja tetapi lebih kepada gaya hidup taqwa, kerana apa yang dimaksudkan dengan taqwa itu menuntut kepada semua perkara bukan sahaja kepada pencarian makanan yang halal semata- mata”, Katanya di majlis perasmian Karnival Halal, baru baru ini.

Selain itu, katanya lagi, usaha untuk mewujudkan kilang memproses makanan dari sumber yang benar- benar jelas halal adalah menjadi sesuatu yang fardhu.

Manakala, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam dan Dakwah Negeri Kelantan, Hassan Mahamood, bahawa Kelantan tidak memerlukan Kelantan baru untuk mengharapkan pembaharuan dalam segenap sektor, namun mengekalkan kemajuan dan pembangunan pemerintahan bersama Islam sekaligus dapat membuka peluang- peluang baru dan perniagaan dan seterusnya memperkasakan ekonomi negeri melalui karnival ini.

Ia juga merupakan sebahagian dari dakwah untuk memartabatkan Islam sebagai negeri yang memartabatkan jelapang makanan yang halal dengan dasar yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan amnya.