KOTA BHARU: Karnival yang menjadi pemangkin dan sumber pencetus dalam penggunaan dan pengamalan produk halal bukan sahaja diambil kira dari aspek pemakanan, tetapi pada semua hal ehwal kehidupan termasuk pelbagai sektor.
Melalui carnival yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan ini juga, pengeluar produk halal akan berpeluang mempromosi dan meluaskan pasaran barangan serta seterusnya membantu menjana pertumbuhan perniagaan mereka selain mendapat sokongan daripada pengeluar dan pengusaha barangan pengguna Islam dan bukan Islam untuk menghasilkan produk halal.
Seminar halal dan kepenggunaan III, kursus sembelihan, konvensyen halal, forum halalan tayibba sedikit sebanyak mampu menarik masyarakat menimba ilmu pengetahuan dalam pengambilan kepada makanan halal.
Penganjuran program selama seminggu yang menghimpunkan pelbagai acara seperti pameran dan jualan barangan halal, pertunjukkan seni silat, persembahan nasyid Akhil Hayy dan Hijjaz, pertunjukkan fesyen busana muslimah, pertunjukkan kebudayaan: gasing terbang, pertunjukkan tomoi, persembahan dikir barat, pertunjukkan kereta dan kawalan kapal terbang kawalan jauh, serta seminar kefahaman undang- undang syariah juga menyerikan lagi penganjuran karnival ini.
Menurut Dato’ Nik Ab Aziz Nik Mat, bagi merealisasikan acara bermakna ini, mencari halal satu kefardhuan yang diguna pada tahun ini sekaligus mengangkat tema ‘mencari halal sebagai satu kefardhuan’ sepertimana pada tahun lepas yang lebih bersesuaian dan bertepatan dengan perintah Allah dan sunnah Rasulullah s.a.w.
Beliau yang memetik kata- kata Ibn Khaldun, bahawa manusia memerlukan makanan untuk hidup tetapi makanan tersebut tidak dapat dihasilkan tanpa melalui beberapa proses yang melibatkan pengembelengan tenaga kerja sesama manusia serta penggunaan alat- alat tertentu, sekaligus kemahiran di dalam hal tersebut termasuk dalam tuntutan fardhu kifayah.
“kita bukan sahaja memerlukan sumber makanan yang halal sahaja tetapi lebih kepada gaya hidup taqwa, kerana apa yang dimaksudkan dengan taqwa itu menuntut kepada semua perkara bukan sahaja kepada pencarian makanan yang halal semata- mata”, Katanya di majlis perasmian Karnival Halal, baru baru ini.
Selain itu, katanya lagi, usaha untuk mewujudkan kilang memproses makanan dari sumber yang benar- benar jelas halal adalah menjadi sesuatu yang fardhu.
Manakala, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam dan Dakwah Negeri Kelantan, Hassan Mahamood, bahawa Kelantan tidak memerlukan Kelantan baru untuk mengharapkan pembaharuan dalam segenap sektor, namun mengekalkan kemajuan dan pembangunan pemerintahan bersama Islam sekaligus dapat membuka peluang- peluang baru dan perniagaan dan seterusnya memperkasakan ekonomi negeri melalui karnival ini.
Ia juga merupakan sebahagian dari dakwah untuk memartabatkan Islam sebagai negeri yang memartabatkan jelapang makanan yang halal dengan dasar yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan amnya.
No comments:
Post a Comment