Saturday, June 30, 2012

Di sebalik cerita kehidupan seorang kawan..



Salam semua,Saya seorang anak laut. Saya kini sudah kembali ke tempat asal keturunan saya.

Kalau dah memang geng pelaut tu, pelaut jugalah. Hidup saya kini semakin tenang...imbasan yang selama ini saya bayangkan sedikit sebanyak telahpun berkesempatan untuk saya lakukan di sini.

Punya tanah di sini, untuk mendirikan tempat teduhan bukanlah sesuatu yang sukar. Kata orang jangan berumah ditepi pantai jika takut dilambung ombak.
Betul tu.

Dan saya tidak takut apa-apa cuma apa yang ditakutkan, kalau saya mati tidak sempat bawa buah tangan amalan pada Rabb.
Di sini juga, saya dapat merasakan udara inilah yang saya rindukan pada setiap kalinya.

Pada waktu malam saya dan keluarga akan berkumpul memulakan aktiviti membaca tafsir secara bulatan.

Pada tengah malamnya, saya mewajibkan untuk teropong bulan dan menangkap gambar melalui teleskop dengan DSLR.

Secara teknikalnya, pada permulaan, memanglah susah, tapi lama kelamaan menjadi mudah.

Gambar-gambar astrofotografi yang dikumpulkan ini bukanlah untuk dijual, namun sekadar mengisi masa lapang saya sahaja, untuk diframekan dalam album.
Bagi saya itu adalah satu kepuasan.

Sewaktu dinihari saya akan bersiap untuk ke tengah laut. Tengahari menjemur ikan dan sotong untuk dijadikan lauk tambahan.

Di sini tidak sesulit mana, kerana tidak perlu bermewah mewahan, cukup ada peti televisyen untuk mengetahui berita semasa, kerusi rotan atau kayu untuk tetamu yang datang dan kereta yang antik untuk saya bergerak ke pasar.

Tidak perlu ada peti ais untuk menyimpan fishball, hashbrown atau makanan segera lain.

Kerana kehidupan disini mengajar saya untuk makan makanan yang segar yang hanya diperolehi dari tangkapan melalui isi perut bumi sahaja.

Di setiap kalinya pun saya akan menghirup hanyiran laut yang terbentang luas. Walaupun tika waktu saya sedang mandi. Udara disini seolahnya kita berada dalam laut.

Kadang kala jika musim air tanah tidak naik akibat kering, air lautlah yang menjadi air sasaran mandian kami sekeluarga. Dan bagi saya itulah kenikmatannya. Walaupun laut disini tidaklah terlalu bersih seperti laut sebelum saya dilahirkan namun saya dapat menerima ia sekadarnya.

Benar, disini juga turut beberapa kali berlaku pergolakan tsunami. Tetapi, gelombang itu tidak sedahsyat di Jepun, Pulau Pinang dan Langkawi. Ahhh...biarkan saja kerana ajal maut ini di tanganNya.

Sejauh manapun kita berlari tak akan dapat terlepas dari maut walaupun tersangkar di rumah agam. Ingatlah janji Allah dalam ayat-ayat peringatanNya!. Bagi saya, ada ketenangan di sini.

Kami sekeluarga dapat bertenang di sini. Saya tidak kisahkan apa-apa lagi walau kulit sudah semakin cokelat seperti orang pulau. Laut di sini juga, banyak pohon kelapa..sepertinya sebuah perkampungan kelapa.

Namun, ia tidak membataskan berlakunya aktiviti cerapan bulan disini. Cerapan boleh juga boleh dilakukan di kampung sebelah hujung sana. Di sana hanya menerima gangguan ribut pasir kecil sahaja.

Kerana dikampung itu masih tidak banyak rumah didirikan. Ketika itu, kita dapat melihat kelahiran anak bulan untuk berpuasa dan menyambut kelahiran bulan baru untuk kemenangan berpuasa di hari raya.

Sungguh takjub saya melihat baby bulan. Tidak perlu pun guna alat cerapan...semuanya hanyalah bantuan teleskop. Walaupun teleskop itu kecil pun sudah memadai dan masih boleh mlihat perkembangan imkanur rukyah itu.

Di sini juga adakalanya saya berbumbungkan langit dan berbaring di daunan yang besar. Mencantumkannya. Haha...pengalaman indah seperti mencantumkan puzzle...namun selalu menerima gangguan angin yang menderu.

Tetapi aktiviti itu tidak selalunya saya lakukan kerana saya teringat kata-kata seseorang bahawa di dalam laut ada naga. Mana tahu bila-bila masa sahaja naga itu boleh naik ke darat dan membaham saya takpun ia bakar saya hingga rentung.

Sedang ketika itu saya asyik tidur lena sehingga tidak sengaja meninggalkan tahajjud malam. Tapi bila difikir sejenak, tidaklah pula saya tahu dari laut mana ia muncul. Hai...fikir saya, kalau pun ada...mungkin naga tu belum sampai sini lagi sebab ia mungkin masih di perairan perut bumi di sebelah benua Arab.

Apapun..saya sangat gembira di sini. Dan sekiranya segelintir dari kita berminat untuk menjadi golongan pelaut...cubalah aktiviti yang saya lakukan di sini. Ia cukup menenangkan jiwa.

Sekian, terima kasih...selamat berjuang untuk memperolehi kehidupan anda yang bahagia.

Salam dari,
Budak laut.

No comments: