Friday, April 27, 2012

Ruang buat hafiz hafizah selatan Thailand

Kebanyakan mereka bergelar al-Hafiz, di selatan Thailand rata-rata mereka hanyalah mengikuti pelajaran formal di pusat-pusat pengajian tempatan yang lebih dikenali sebagai sekolah pondok tradisional. Di mana saja, lebih-lebih lagi di wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam, iaitu Yala, Narathiwat dan Patani, sekolah pondok menjadi tempat mereka menghabiskan usia remaja dalam mendapatkan ilmu pengetahuan. Ramai dalam kalangan mereka kembali menjadi ustaz atau ustazah di sekolah yang sama. Mereka yang berkemampuan mungkin membuka pondok sendiri bagi memberikan ruang pembelajaran yang lebih baik kepada anak tempatan. Bantuan kerajaan, hanyalah kepada sekolah yang berdaftar dengan agensi berkaitan sahaja layak menerima secara bulanan dan tahunan. Namun, difahamkan terdapat juga bantuan berbentuk prasarana dan kemudahan. Jadi tidak pelik, masyarakat Selatan Thailand yang bergelar Al-Hafiz tidak ke mana-mana, hanyalah menjadi ustaz dan ustazah kampung sahaja. Keadaan ini tidak dinafikan, membuatkan mereka lebih mudah terpengaruh dengan anasir subversif dan berhaluan kiri yang menentang kerajaan kerana menganggap mereka diketepikan pembangunan sedangkan, golongan ini yang memilih untuk dianaktirikan kerajaan. Namun, mereka masih ada 'cahaya di hujung terowong' apabila kerajaan negara pimpinan negara Gajah Putih itu meminta kerjasama Kerajaan Malaysia mengadakan misi damai selatan Thailand. Atas sebab itulah, Malaysia bersedia menubuhkan Task Force 2010 (Malaysia) yang bekerjasama dengan Task Force 960 (Thailand) bagi merangka pelbagai program yang bertujuan membantu penduduk Islam di tiga wilayah yang bergolak berkenaan. Salah satu daripadanya memberikan pendidikan lebih formal kepada masyarakat antaranya melahirkan lapan pelajar Diploma Tahfiz Al-Quran di Pusat Islam Darul Quran, Kuala Kubu Baru selain kursus kejururawatan dan kursus kemahiran baik pulih enjin dan komputer. Bagaimanapun, apabila Task Force 2010 (Malaysia) ditamatkan pada 1 Januari 2010 lalu selepas tiga tahun tempoh diberikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam berakhir, pelajar ini masih dikendalikan kerajaan melalui Yayasan Kebajikan dan Pendidikan Asia Tenggara (Seaweed) yang diketuai bekas Ketua Pengarahnya, Tan Sri Wan Abu Bakar Wan Omar sebagai pengerusi. Usaha Task Force 2010 (Malaysia) itu bertujuan bagi memastikan, selatan Thailand akan mampu mempunyai golongan generasi belia yang berupaya untuk membantu masyarakat sendiri dan sekali gus mengelakkan mereka daripada terjebak dalam sebarang kegiatan yang tidak sihat. Tinjauan keadaan ketiga-tiga wilayah bergolak semasa mengikuti lawatan Task Force 2010 (Malaysia) dan Task Force 960 (Thailand) kira-kira empat tahun lalu mendapati lebih 500 pondok pengajian Islam di sana dikendalikan tanpa bantuan kerajaan. Hampir separuh daripada pondok-pondok berkenaan kelihatan terlalu usang dan meneruskan urusan pengajian dengan dana persendirian.

No comments: