Saturday, June 30, 2012

Di sebalik cerita kehidupan seorang kawan..



Salam semua,Saya seorang anak laut. Saya kini sudah kembali ke tempat asal keturunan saya.

Kalau dah memang geng pelaut tu, pelaut jugalah. Hidup saya kini semakin tenang...imbasan yang selama ini saya bayangkan sedikit sebanyak telahpun berkesempatan untuk saya lakukan di sini.

Punya tanah di sini, untuk mendirikan tempat teduhan bukanlah sesuatu yang sukar. Kata orang jangan berumah ditepi pantai jika takut dilambung ombak.
Betul tu.

Dan saya tidak takut apa-apa cuma apa yang ditakutkan, kalau saya mati tidak sempat bawa buah tangan amalan pada Rabb.
Di sini juga, saya dapat merasakan udara inilah yang saya rindukan pada setiap kalinya.

Pada waktu malam saya dan keluarga akan berkumpul memulakan aktiviti membaca tafsir secara bulatan.

Pada tengah malamnya, saya mewajibkan untuk teropong bulan dan menangkap gambar melalui teleskop dengan DSLR.

Secara teknikalnya, pada permulaan, memanglah susah, tapi lama kelamaan menjadi mudah.

Gambar-gambar astrofotografi yang dikumpulkan ini bukanlah untuk dijual, namun sekadar mengisi masa lapang saya sahaja, untuk diframekan dalam album.
Bagi saya itu adalah satu kepuasan.

Sewaktu dinihari saya akan bersiap untuk ke tengah laut. Tengahari menjemur ikan dan sotong untuk dijadikan lauk tambahan.

Di sini tidak sesulit mana, kerana tidak perlu bermewah mewahan, cukup ada peti televisyen untuk mengetahui berita semasa, kerusi rotan atau kayu untuk tetamu yang datang dan kereta yang antik untuk saya bergerak ke pasar.

Tidak perlu ada peti ais untuk menyimpan fishball, hashbrown atau makanan segera lain.

Kerana kehidupan disini mengajar saya untuk makan makanan yang segar yang hanya diperolehi dari tangkapan melalui isi perut bumi sahaja.

Di setiap kalinya pun saya akan menghirup hanyiran laut yang terbentang luas. Walaupun tika waktu saya sedang mandi. Udara disini seolahnya kita berada dalam laut.

Kadang kala jika musim air tanah tidak naik akibat kering, air lautlah yang menjadi air sasaran mandian kami sekeluarga. Dan bagi saya itulah kenikmatannya. Walaupun laut disini tidaklah terlalu bersih seperti laut sebelum saya dilahirkan namun saya dapat menerima ia sekadarnya.

Benar, disini juga turut beberapa kali berlaku pergolakan tsunami. Tetapi, gelombang itu tidak sedahsyat di Jepun, Pulau Pinang dan Langkawi. Ahhh...biarkan saja kerana ajal maut ini di tanganNya.

Sejauh manapun kita berlari tak akan dapat terlepas dari maut walaupun tersangkar di rumah agam. Ingatlah janji Allah dalam ayat-ayat peringatanNya!. Bagi saya, ada ketenangan di sini.

Kami sekeluarga dapat bertenang di sini. Saya tidak kisahkan apa-apa lagi walau kulit sudah semakin cokelat seperti orang pulau. Laut di sini juga, banyak pohon kelapa..sepertinya sebuah perkampungan kelapa.

Namun, ia tidak membataskan berlakunya aktiviti cerapan bulan disini. Cerapan boleh juga boleh dilakukan di kampung sebelah hujung sana. Di sana hanya menerima gangguan ribut pasir kecil sahaja.

Kerana dikampung itu masih tidak banyak rumah didirikan. Ketika itu, kita dapat melihat kelahiran anak bulan untuk berpuasa dan menyambut kelahiran bulan baru untuk kemenangan berpuasa di hari raya.

Sungguh takjub saya melihat baby bulan. Tidak perlu pun guna alat cerapan...semuanya hanyalah bantuan teleskop. Walaupun teleskop itu kecil pun sudah memadai dan masih boleh mlihat perkembangan imkanur rukyah itu.

Di sini juga adakalanya saya berbumbungkan langit dan berbaring di daunan yang besar. Mencantumkannya. Haha...pengalaman indah seperti mencantumkan puzzle...namun selalu menerima gangguan angin yang menderu.

Tetapi aktiviti itu tidak selalunya saya lakukan kerana saya teringat kata-kata seseorang bahawa di dalam laut ada naga. Mana tahu bila-bila masa sahaja naga itu boleh naik ke darat dan membaham saya takpun ia bakar saya hingga rentung.

Sedang ketika itu saya asyik tidur lena sehingga tidak sengaja meninggalkan tahajjud malam. Tapi bila difikir sejenak, tidaklah pula saya tahu dari laut mana ia muncul. Hai...fikir saya, kalau pun ada...mungkin naga tu belum sampai sini lagi sebab ia mungkin masih di perairan perut bumi di sebelah benua Arab.

Apapun..saya sangat gembira di sini. Dan sekiranya segelintir dari kita berminat untuk menjadi golongan pelaut...cubalah aktiviti yang saya lakukan di sini. Ia cukup menenangkan jiwa.

Sekian, terima kasih...selamat berjuang untuk memperolehi kehidupan anda yang bahagia.

Salam dari,
Budak laut.

Friday, June 29, 2012

Renungkan amanah tuhanmu melalui...alInsaan.

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah,
lagi Maha Mengasihani.
Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar),
sedang ia (masih belum wujud lagi, dan)
tidak menjadi sesuatu benda yang disebut-sebut,
(maka mengapa kaum musyrik itu mengingkari hari akhirat)?
Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan),
serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan);
oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat.
Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka)
sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah;
maka terserahlah kepadanya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat),
ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka).
(Dalam pada itu),
sesungguhnya Kami telah menyediakan bagi sesiapa yang berlaku kufur (atau menderhaka):
beberapa rantai dan belenggu serta neraka yang menjulang-julang.
Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan kebajikan),
akan meminum dari piala: sejenis minuman yang bercampur dengan "Kafur".
Iaitu sebuah matair (di Syurga), yang diminum daripadanya
oleh hamba-hamba Allah (yang taat);
mereka boleh mengalirkannya (di tempat-tempat tinggal mereka)
dengan aliran yang semudah-mudahnya dan menurut kemahuannya.
(Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana)
mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya),
serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini.
Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya,
kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan.
(Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati):
"Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata;
kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih,
"Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami,
takut Ia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut".
Dengan sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan),
maka Allah selamatkan mereka dari kesengsaraan hari yang demikian keadaannya,
serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (di muka),
dan perasaan ria gembira (di hati).
Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya),
mereka dibalas oleh Allah dengan Syurga dan (persalinan dari) sutera.
Mereka berehat di dalam Syurga dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias),
mereka tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya),
dan tidak juga merasai suasana yang terlampau sejuk; S
edang naungan pohon-pohon Syurga itu dekat kepada mereka,
dan buah-buahannya pula dimudahkan (untuk mereka memetiknya) dengan semudah-mudahnya.
Dan (selain itu) diedarkan kepada mereka (oleh pelayan-pelayannya): bijana dari perak dan piala-piala minuman yang keadaannya laksana kaca (nampak jelas isinya)Keadaannya laksana) kaca,
(sedang ia) dari perak;
pelayan-pelayan itu menentukan kadar isinya sekadar yang cukup betul dengan kehendak penggunanya.
Dan mereka dalam Syurga itu,
diberi minum sejenis minuman yang campurannya dari "Zanjabil",
Iaitu sebuah matair dalam Syurga, yang disebutkan sifatnya sebagai "Salsabil".
Dan mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka;
apabila engkau melihat anak-anak muda itu,
nescaya engkau menyangkanya mutiara yang bertaburan.
Dan apabila engkau melihat di sana (dalam Syurga itu),
engkau melihat nikmat yang melimpah-limpah dan kerajaan yang besar (yang tidak ada bandingannya).
Mereka di dalam Syurga memakai pakaian hijau yang diperbuat dari sutera halus dan sutera tebal (yang bertekat),
serta mereka dihiasi dengan gelang-gelang tangan dari perak;
dan mereka diberi minum oleh Tuhan mereka dengan sejenis minuman (yang lain) yang bersih suci.
(Serta dikatakan kepada mereka):
"Sesungguhnya (segala pemberian) ini adalah untuk kamu sebagai balasan, dan adalah usaha amal kamu (di dunia dahulu) diterima dan dihargai (oleh Allah)".
Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad),
dengan beransur-ansur.
Oleh itu hendaklah engkau bersabar menerima hukum Tuhanmu (memberi tempoh kepada golongan yang menentangmu),
dan janganlah engkau menurut kehendak orang yang berdosa di antara mereka,
atau orang yang kufur ingkar.
Dan sebutlah dengan lidah atau dengan hati akan nama Tuhanmu (di dalam dan di luar sembahyang),
pada waktu pagi dan petang;
Dan (dengan apa keadaan pun maka) pada sebahagian dari waktu malam sujudlah kepada Tuhan (dengan mengerjakan sembahyang),
dan (seboleh-bolehnya) bertasbihlah memujiNya (dengan mengerjakan sembahyang Tahajjud),
pada sebahagian yang panjang dari waktu malam.
Sesungguhnya orang-orang (yang menentangmu) itu sentiasa mencintai (kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya,
serta mereka membelakangkan (tidak menghiraukan bekalan) untuk hari akhirat yang amat berat (penderitaannya kepada orang-orang yang tidak bertaqwa).
Kamilah yang menciptakan mereka serta menguatkan tulang sendi dan urat saraf mereka; (Kami berkuasa membinasakan mereka) dan apabila Kami kehendaki,
Kami gantikan (mereka dengan) orang-orang yang serupa dengan mereka,
dengan penggantian yang sebaik-baiknya.
Sesungguhnya (segala keterangan yang disebutkan) ini,
menjadi peringatan;
maka sesiapa yang mahukan (kebaikan dirinya) bolehlah ia mengambil jalan yang menyampaikan kepada keredaan Allah (dengan iman dan taat).
Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah;
sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui,
lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendakiNya).
Ia memasukkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditetapkan) ke dalam rahmatNya (dengan ditempatkannya di dalam Syurga);
dan orang-orang yang zalim, Ia menyediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.