Wednesday, July 27, 2011

Ramadhan kali ini.....Mencerap Anak Bulan: Sampai kemana?

Pada tahun lalu kami sempat meredah ke Bukit Peraksi…

Umumnya bulan Ramadhan adalah bulan yang diwajibkan Allah ke atas umat Islam untuk melaksanakan ibadah puasa semenjak bulan Sya’ban tahun 2 Hijrah berikutan turunnya ayat 183 Surah al-Baqarah, yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa…”.

Ramadhan lalu kami berjaya menjejaki anak bulan di Bukit Peraksi, Pantai Mek Mas, juga di rumah bapa saudara saya, Doktor Mahamarowi (Pengerusi Persatuan Astronomi-falak Kelantan) di jalan Guchil Bayam, untuk melihat sendiri kelahiran anak bulan ramadhan yang menentukan tarikh masyarakat Islam berpuasa di bulan Ramadhan. Disamping mengambil ‘shot’ anak bulan yang paling cantik untuk difail dan direkodkan dalam arkib FW Media.

Disini kami telah mendapatkan sedikit kupasan mengenai lanjutan daripada kriteria imkanur- rukyah dalam penetapan awal bulan qamariah. Dimana, ia dilakukan dengan kaedah rukyah dan hisab berdasarkan kriteria Imkanur rukyah (kebolehnampakan) bagi penentuan masuknya awal bulan apabila kedudukan hilal ketika matahari terbenam pada akhir bulan qamariah berada dalam keadaan yang memungkinkan kenampakannya.

Jawatankuasa kajisemula Data Rukyah Hilal Malaysia membuat analisis terhadap data rukyah yang dilakukan oleh dua negara anggota Malaysia dan Indonesia (MABIMS). Pihak Malaysia atas cadangan jawatankuasa tersebut telah mengemukakan satu kriteria imkanur rukyah kepada MABIMS. Kriteria tersebut telah dipersetujui untuk diterimapakai oleh anggota MABIMS dalam mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Rukyah dan Takwim Islam kali ketiga pada 29 Zulkaedah 1412 bersamaan 1 Jun 1992 di Labuan.

Kriteria yang telah dipersetujui itu ialah sekiranya ijtimak telah berlaku pada 29 Syaaban, 29 Ramadhan atau 29 Zulkaedah sebelum matahari terbenam dan hilal dianggap boleh kelihatan apabila kiraan memenuhi salah satu syarat- syarat berikut:

(a) ketika matahari terbenam, ketinggian anak bulan diatas ufuk tidak kurang daripada 2° dan jarak lengkung (bulan-matahari) tidak kurang daripada 3°.
atau

(b) ketika bulan terbenam, umur anak bulan tidak kurang daripada 8 jam (selepas ijtimak berlaku).
Mulai 1995 pemakaian kriteria ini telah diperluaskan bagi menentukan kesemua bulan- bulan qamariah. Kedudukan hilal relatif dengan matahari ketika matahari terbenam bagi kenampakan awalnya hilal menurut kriteria MABIMS.
Ini sorotan pengalaman kami di tiga buah lokasi berbeza selama 3 hari berturut- turut bagi melaporkan keadaan hilal matahari sempena penetapan tarikh Ramadhan pada tahun lalu.


Hari Pertama: 29 Syaaban 1431H Bukit Peraksi, Pasir Puteh.


Petang itu jam 6.25 minit, Jawatankuasa Jabatan Ukur Pemetaan Kelantan (JUPEM) dan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) yang banyak memberikan kerjasama memberitahu bahawa alat bacaan data rukyah menunjukkan kelahiran anak bulan kira- kira jam 6.02 minit petang yang berada dalam keadaan pramatang.
Kami tidak ketinggalan untuk melihat anak bulan melalui alat cerapan tersebut. Namun, ada ketikanya anak bulan terlindung oleh awan.
Jam juga sudah menunjukkan pukul 7.10 minit anak bulan sudah tidak kelihatan kerana matahari sudah terbenam.


Hari Kedua: 30 syaaban 1431H Pantai Mek Mas, Kuala besar Kota Bharu Kelantan.

Lat: 6° 12’45.75” (U). Long: 102° 14’34.3” (T)
Kami seramai 3 orang mengikuti Dr Mahamarowi Omar atau dikenali dengan Dr Rowi, diiringi Ustaz Mohd Nor Husain, seorang guru agama dari Sekolah Menengah Maahad Muhammadi (P) banyak membantu dalam proses pencerapan yang dijalankan. Laporan penuh ini juga disediakan oleh beliau dengan kerjasama Dr Rowi yang menggunakan teleskop peribadinya untuk melihat data dengan tepat.

Laporan pada hari jumaat, menunjukkan ijtimak (conjunction) iaitu keadaan yang mana bulan, matahari, dan bumi berada dalam satu (meridian) selari telah berlaku pada hari Khamis 29 Sya’ban 1431H pada pukul 18:02 petang. Pada petang itu, matahari dijangka terbenam pada pukul 19:22:58 malam, manakala bulan dijangka terbenam pada jam 20:08:35 malam. Jangkamasa hilal berada diatas ufuk, iaitu dari berlaku ijtimak, bermula hari khamis pukul 18:02 petang pada 29 Sya’ban 1431 hingga matahari terbenam selama 26 jam 05 minit.

Umur hilal diatas ufuk, iaitu dari matahari terbenam hingga bulan terbenam ialah lebih kurang 45 minit 37 saat. Ini bererti matahari terbenam dahulu dari bulan selama 45 minit 37 saat.
Azimut (sudut) ketika matahari terbenam dari utara benar 282° 09’ 10”, manakala azimut ketika bulan terbenam pula ialah 272° 10’ 42”. Ini bermaksud bulan berada ke kiri sedikit dari matahari (beza azimut) dengan jarak 09° 58’ 28”. Manakala jarak lengkung iaitu jarak diantara pusat hilal ke pusat matahari terbenam ialah 14°05’ 41”.

Oleh kerana ijtimak telah berlaku pada hari khamis 29 Sya’ban 1431H pada pukul 18;02 petang, maka hilal baru berumur 01 jam 16 minit ketika matahari terbenam pada malam itu. Maka mengikut hitungan, anak bulan dikira tidak wujud pada hari rukyah itu walaupun keadaan cuaca di kaki langit sebelah barat amat cerah.
Perkara pertama yang mesti dilakukan untuk penggunaan teleskop pada hari tersebut dilakukan dengan mengenal arah utara selatan, kompas dan masa yang tepat, disamping memastikan kedudukan longitude dan latitude yang merupakan penentuan serta mengenalpasti salah satu bintang iaitu bintang vega (bintang yang paling terang), bagi menjejak anak bulan Ramadhan.

Bidang penglihatan teleskop yang begitu luas juga dapat menjejak pergerakan anak bulan setiap masa. Maka tumpuan kami diketika itu untuk menangkap shot yang cantik untuk diabadikan pada Ramadhan kali itu menjadi begitu bermakna.
Malangnya, pada hari itu, tujuan asal untuk mendapatkan gambar anak bulan tidak berjalan lancar, kerana gumpalan awan yang terlalu tebal dan mengundang cuaca yang begitu gelap. Maka kami putuskan untuk menangkap shot anak bulan pada keesokan hari.

Hari Ketiga: 1 Ramadhan 1430H / Jalan Guchil Bayam, Kota Bharu, Kelantan.

Kami berkunjung ke rumah Dr. Rowi. Di saat itu, kami masih beriktiar merakamkan gambar anak bulan Ramadhan. Kali ini, gambar anak bulan hari kedua Ramadhan diambil menggunakan teleskop peribadi Dr. Rowi. Dr. Rowi juga memberikan kerjasama serta tunjuk ajar mengenai cara mengambil gambar menggunakan sambungan ‘DSLR still photo’ melalui teleskopnya. Secara keseluruhannya pencerapan selama 3 hari itu memberi kepuasan pada kami walaupun tidak sepenuhnya.
Maka, berakhirlah aktiviti cerapan anak bulan serta untuk mengabadikan gambar- gambar menarik anak bulan Ramadhan pada tahun lalu, yang cukup istimewa. Ramadhan tahun itu, cukup memberikan pengalaman yang sangat bernilai bagi semua yang terlibat dalam aktiviti pencerapan anak bulan ramadhan.
Sungguhpun pada hari pertama kelengkapan teleskop di atas Bukit Peraksi tidak dapat dibawa, namun kami sudah cukup berpuas hati apabila mendapat pengalaman menangkap shot anak bulan yang menarik dan sangat menakjubkan dimana kedudukan anak bulan tersebut bersebelahan panet Zuhal dan bintang Vega berada berdekatan antara satu sama lain.
Pada tahun ini, kami berdua terpanggil untuk membuat laporan “hisab awal bulan” bagi Ramadhan dan Syawal 1432/2011 mengikut imkanur- rukyah di Kuala Lumpur pula, insyaallah. Mana tahu, satu hari nanti mungkin ada diantara kita yang teringin membuat liputan di Iran atau sekitar tanah Arab untuk mencerap bulan yang cerah disana dengan menikmati keindahan panoramanya di kawasan gurun walaupun laluan disana lebih ‘extreme adventure’ daripada Malaysia.

No comments: