Tuesday, May 10, 2011

Wae...Selamat hari ibu

Kelihatan wajah itu menambah segaris lagi kedutan kecil pelengkap ribuan kedutan yang menatar di sekitar hamparan tulang wajah. Tubuh kurus separa lemah, jalan yang semakin lambat itu ingin saja di usung bagai raja yang dibawa dengan pengusungan yang bertatahkan emas dan permata.
Kurenung mata yang menyimpan sejuta riwayat hidup penderitaan, kebahagiaan dan
Kelembutan belaian seorang ibu yang membesarkan anak- anaknya. Kulihat tangan kurus yang berurat sepah mengingatkanku suapan nasi kemulut dan ikatan rambut yang bertocang sebelah kiri dan kanan untuk memperlihatkan kemasnya identitiku sebagai anak kepada seorang pegawai kerajaan.
Tangan itu juga bertegas mencubit dan merotan pada setiap kesalahan yang berulangkali melaku kerana masih terlalu kecil, tidak matang dan khilaf.
Kaki itu kulihat sesekali sendinya longgar sendiri dan mengendur kerana dari awalnya dia sentiasa berkejaran menuntut hak ilmu sebagai harta untuk bekalan kesenangan anaknya sehingga hari ini anak itu mengaplikasi ilmu yang ada didada mereka.
Aku melihat bibirnya yang senyum mekar dalam kedutan walaupun sesekali pahit memikir masalah anak-anaknya, mengajar mereka menjaga maruah untuk Allah s.w.t.. tetap teguh memastikan anaknya berubah laku sekiranya sedikit mengasari yang menyakit hatinya demi kebaikan anaknya dikemudian hari.. demi menghadap pencipta seluruh alam raya.
Hati itu kuselam melihat di dasarnya yang putih jernih suci mencintai anak dan suaminya demi mempastikan hubungan utuh yang dibina dengan kasih sayang yang didasari cinta itu terus kukuh dan mekar selamanya.
Perlindungan yang diberikan membuktikan tanggungjawab yang dipikul dilakukannya sebaik yang terdaya semata mata untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t
Apapun jua aksi dan lakumu dalam membesarkanku semuanya kurasakan akulah anak yang paling bertuah punya ibu sepertimu..aku sanjung segala didikan dan pengorbananmu membesarkan kami dengan penuh rasa cinta yang ikhlas aku bersyukur masih dapat merasa kasih sayang seorang ibu suci sepertimu. Aku cukup bertuah kerana punya ibu. Maafkanlah segala lakuku yang menyinggungmu..aku berusaha untuk menjadikan diri ini yang terbaik sebagai anakmu..untuk membalas jasamu yang tidak terbalas itu..aku lahir keranamu untuk bersama mencari keredhaan di jalan Allah s.w.t.
Aku sedang mengerti perasaanmu sebagai ibu kerana aku juga sedang cuba mempraktikkan tanggungjawab sebagai seorang ibu. Kucuba sedaya upaya menjadi yang terbaik untuk anak- anakku sehingga hembusan nafasku yang terakhir.

Wae..selamat hari ibu.

No comments: