Sunday, August 26, 2007

Tokoh Ibu Bersandar Kepada Ketokohan Ibu Srikandi Islam

KOTA BHARU: Sesebuah keluarga dan masyarakat yang cemerlang tidak akan tercapai tanpa asuhan, didikan pimpinan dan tanggungjawab dari seseorang yang bergelar ibu.

Jesteru itu, sambutan hari ibu peringkat negeri Kelantan 2007 memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada jasa dan pengorbanan kaum ibu. Sekaligus sebagai satu usaha untuk mendidik masyarakat terhadap kepentingan tanggungjawab dan pengorbanan seseorang ibu diberikan penghargaan yang sewajarnya.

Menteri Besar Kelantan, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat memberitahu, program sambutan hari ibu ini memberi kesedaran kepada semua tentang tanggungjawab dan kewajipan seseorang ibu dalam membentuk sebuah keluarga dan masyarakat yang memenuhi tuntutan Islam.

“Ia juga memberi kefahaman kepada masyarakat tentang kedudukan wanita dan ibu serta peranannya dalam melahirkan keluarga dan masyarakat yang akan mengambil alih tanggungjawab kepimpinan masa hadapan.

“Saya sangat berbangga dengan pencapaian dan kualiti yang ada pada kaum ibu di seluruh negeri Kelantan diatas sumbangan serta jasa mereka yang banyak membantu melahirkan modal insan yang berkualiti dan cemerlang”, Katanya lagi di majlis anjuran Urusetia Pembangunan Wanita, Belia & Sukan Kerajaan Negeri Kelantan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan Abdul Fatah Mahmood pula berkata, program ini menerapkan kepada masyarakat tentang konsep ehsan kepada ibu bapa dalam usaha untuk melahirkan masyarakat yang penyayang, menghormati ibu bapa. Sekaligus meneruskan kesinambungan usaha dan komitmen kerajaan negeri dalam membentuk institusi keluarga sebagai mahligai sakinah.

“Kerajaan akan sentiasa menyokong dan membantu usaha yang dilakukan oleh mana- mana pihak didalam bentuk keharmonian rumahtangga bagi melahirkan ‘rumahtanggaku syurgaku’”.

Sebanyak lima kategori anugerah Tokoh Ibu Negeri Kelantan 2007 yang dianugerahkan kepada lima orang ibu cemerlang dari seluruh pelusuk negeri. Setiap kategori yang dimaksudkan itu bersandarkan kepada tokoh ibu dan srikandi Islam yang termasyhur dengan sumbangan masing- masing seperti yang disebutkan dalam sejarah Islam.
Tokoh Ibu Bekerja dimiliki oleh Hasiah Ismail, dengan menerima Anugerah Khadijah al-Khuwailid, manakala Anugerah Asma’ Abu Bakar kategori ibu Orang Kurang Upaya (OKU) pula dimiliki oleh Minah Jusoh. Tokoh Ibu armalah iaitu Anugerah Maryam Ummu ‘Isa dimiliki oleh Fatimah Hassan.

Penganugerahan bagi Tokoh Ibu Surirumah pula dimiliki oleh Wan Eshah Wan Abdullah Anugerah Aishah al-Humaira’ namun di wakilkan kepada anaknya Wan Azizon yang merupakan Senoir Federal Council di Jabatan Peguam Negara. Anugerah terakhir dimiliki oleh Nooraini Ismail, iaitu Anugerah Fatimah al-Zahra’ (Tokoh Ibu Anugerah Khas).

Apabila ditemui wakil mingguan wasilah, tokoh Anugerah khas, Nooraini Ismail, 38, menyatakan bahawa, lima orang anak yang menghidapi penyakit metabolik serta ketidakupayaan fizikal dan akal.

“Seorang daripada anak saya meninggal semasa masih bayi. Saya redha. Empat orang anak saya yang lain masih belajar di sekolah rendah dan menengah sekitar Tumpat.

“Penyakit anak-anak saya menunjukkan tanda seawal usia tiga bulan. Namun anak bongsu saya telah menunjukkan tanda dalam usianya 40 hari. Namun saya pasrah dengan ketentuan ilahi. Saya tidak pernah menyesal dengan kehadiran mereka malah mereka banyak mengajar saya erti kesabaran dan kasih sayang yang sebenar”, katanya.

No comments: