Sunday, August 26, 2007

Konvensyen Gerak Berdikari Pamer Pencapaian Usahawan IKS


Konvensyen Gerak Berdikari Kelantan 2007 adalah bersempena setahun penubuhan Gerak Berdikari Rakyat Kelantan. Ia adalah pencapaian daripada penganjuran pelbagai program yang dijalankan oleh Kerajaan di bawah perancangan Gerak Berdikari dalam mempamerkan segala pencapaian usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta pelaksanaan program yang membabitkan aktiviti mereka.

Program yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan melalui Jawatankuasa Khas Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana Negeri Kelantan dengan kerjasama Jabatan dan Agensi Kerajaan berkaitan ini adalah memberi peluang kepada semua pihak untuk memberi maklum balas bagi membolehkan Kerajaan membuat penambahbaikan terhadap program mendatang.

Pupuk Nilai Murni diberi tanggungjawab sebagai pengurus program yang akan mengendalikan pelaksanaan program dan aktiviti seperti yang dirancangkan sekaligus mengadakan sebahagian jualan untuk dimasukkan ke Tabung Bakti Gerak Berdikari yang akan mengumpulkan dana bagi membantu rakyat dengan menjalankan pelbagai kegiatan untuk berdikari.
Tema Gerak Berdikari Menerajui Kejayaan ini dipilih sebagai simbolik kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh program Gerak Berdikari khususnya dalam menggerakkan rakyat untuk berdikari dan berjaya melalui pelbagai kegiatan usahaniaga.

Satu forum “Gerak Berdikari Menerajui Kejayaan” selaras dengan tema program itu akan menampilkan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian dan Sumber Manusia, Zulkifli Mamat, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Desa Dr Nik Mazian dan seorang ahli perniagaan berjaya serta seorang ahli akademik yang akan membincangkan tentang pencapaian pelaksanaan Gerak Berdikari.

Sehubungan itu, seorang tokoh anak Kelantan yang berjaya akan dipilih untuk berkongsi pengalaman dan suka duka dalam mencapai kejayaan hidup. Program ini juga akan diselitkan pengiktirafan Anugerah Usahawan Berdikari yang akan diberikan kepada peserta-peserta program Galakan Pembangunan IKS Dun yang berjaya dengan menunjukkan peningkatan dalam perusahaan hasil bantuan yang diberikan oleh Kerajaan melalui peruntukan Gerakan Berdikari Rakyat Kelantan.

Disamping itu, program ini turut menyelitkan permainan kuiz yang mampu membakar semangat keusahawanan dan cintakan bidang perniagaan kepada sekolah yang terpilih. Keutamaan diberikan kepada sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan yang menyertai Program Usahawan Muda (PUM). Sekolah yang berjaya akan diberikan bantuan untuk menjalankan projek ekonomi dan perniagaan.

Ia juga turut menyediakan hiburan yang bersesuaian dengan menampilkan kumpulan nasyid UNIC dan pendikir tersohor Halim Yazid.

Mingguan Wasilah yang merupakan akhbar rasmi untuk program ini juga akan memberitakan maklumat program serta menghebahkannya kepada masyarakat tentang program ini. Beberapa naskah percuma juga akan diberikan kepada orang ramai yang berkunjung pada konvensyen yang diadakan pada 6,7 dan 8 september itu.

Menurut Ketua Eksekutif Pupuk Nilai Murni Berhad, Nazri Deraman, memberitahu, sambutan konvensyen ini menggabungkan empat portfolio bagi empat orang exco iaitu exco Zulkifli Mamat, Nik Mazian Nik Mohamad, Abdul Fatah Mahmood dan Hassan Mahamood.

“Ia juga melibatkan banyak pihak dan pelbagai agensi kerajaan sekaligus menampilkan buku gerak berdikari anugerah usahawan gerak berdikari 2007 yang mana melalui konvensyen gerak berdikari ini akan memberikan manfaat kepada rakyat dari segi ekonomi, ilmu usahawan dan hiburan yang berlandaskan syariat Islam.

“Melalui program ini juga penyediaan kaunter kerjaya dan peluang keusahawanan akan diadakan kepada syarikat-syarikat rakan strategik Gerak Berdikari seperti Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), MIDA, MARA, PUPUK Nilai Murni, rakan- rakan SUKSES seperti CIMB, Takaful Ikhlas Nilam Prima Sdn Bhd serta Persatuan Pemaju Perumahan (REHDA) untuk menawarkan peluang kerjaya dan perniagaan kepada orang ramai”.

No comments: