Thursday, August 2, 2007

Mengangkat Fungsi Dinar Dalam Masyarakat dan Negara.

KOTA BHARU: Pelancaran Emas Dinar Kenang Kenangan Sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al- Sultan Kelantan Ke- 57 yang akan dilancarkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Sultan Kelantan bertempat di Dewan Balai Besar Balai Islam, Lundang, Kelantan ini, adalah sebagai langkah pengenalan konsep Dinar yang dianjurkan oleh Islam.

Bersempena pelancaran ini juga akan diadakan program Seminar Emas Dinar bermula 8.00 pagi – 12.00 tengahari. Seminar yang akan dibarisi oleh dua orang penceramah iaitu Dato’ Shukri Mohamed dan Nik Mahani Mohamad yang akan membentangkan kertas kerja bertajuk Sejarah dan Falsafah Dirham serta Dinar dan Dirham Pemangkin Daulah Islamiyyah yang akan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Kelantan Dato’ Husam Musa dengan menawarkan dinar emas atau dirham sebagai alat tabungan dan pelaburan bukan sebagai legal tender.

Menurut Dato’ Husam Musa, penggunaan cawangan Ar- Rahan untuk transaksi jualbeli akan memastikan penyimpanan dinar yang dibeli di premis- premis ini secara selamat, sekaligus dapat membawa masyarakat untuk menawarkan pelaburan awam bagi mengeluarkan kepingan dinar dari emas tulen dengan pulangan pelaburan dalam berbagai bentuk kebaikan.

Pengurus Besar Permodalan Kelantan Berhad (PKB) Mohd Sabri Abdullah, ketika ditemui wakil mingguan wasilah, memberitahu bahawa, objektif sebenar pelancaran dan seminar ini adalah bagi menekankan konsep dinar, yang memastikan amanat daripada Allah s.w.t dan Muhammad s.a.w, bagi menyemarakkan Dinar supaya amalan riba tidak selamanya berlaku.

“Walaupun matawang Malaysia masih tidak mampu lagi diperbuat daripada emas, namun PKB akan cuba memperkenalkan pada umum bahawa konsep dinar adalah penting kepada ekonomi sesebuah negara Islam.

“Sistem negara Islam memerlukan satu sistem matawang tanpa riba, bagi kesedaran pada masyarakat Islam dan ia adil tanpa inflasi dan unsur- unsur faedah. Konsep dinar ini banyak membantu rakyat. Manakala, sistem ekonomi matawang yang digunakan sekarang adalah tidak stabil. Negeri kaya akan terus kaya dan ingin menganiaya pada negara miskin sekiranya duit berdasarkan pada sistem yang tidak bersandarkan pada emas. Maka ia adalah zalim pada rakyat dan negara.


“Saya berharap dengan adanya seminar ini sedikit sebanyak akan memberi maklumbalas kepada pegawai agama supaya mereka dapat memberikan maklumat kepada rakyat tentang konsep sebenar dinar”.

No comments: