Thursday, August 2, 2007

Melahirkan Keluarga Islam Cemerlang dan Dinamik

Sambutan Hari Ibu 2007 peringkat negeri Kelantan bagi kesejahteraan dan kecemerlangan sesebuah keluarga merupakan satu elemen yang penting dalam membentuk sesebuah masyarakat Islam atau negara Islam yang syumul.

Penekanan program yang dikendalikan oleh Urusetia Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan, Kerajaan Negeri Kelantan ini adalah memfokuskan kepada prinsip dan kaedah dalam membentuk keluarga dan masyarakat cemerlang dari perspektif Islam.

Program yang dirancang ini juga adalah sebagai kesinambungan daripada sambutan Hari Ibu yang telah dilaksanakan pada tahun 2005 dan 2006 tahun yang lalu dan bertujuan untuk memberi kesedaran kepada peserta tentang tanggungjawab dan kewajipan seorang ibu dalam membentuk sebuah keluarga dan masyarakat yang memenuhi tuntutan Islam.

Ia juga memberi kefahaman kepada masyarakat bahawa mulianya kedudukan wanita dalam Islam, sekaligus mencapai matlamat dalam melahirkan keluarga Islam yang cemerlang serta dinamik bagi menerapkan kepada peserta tentang konsep ehsan ke arah melahirkan masyarakat yang penyayang dan menghormati ibu bapa.

Sehubungan itu juga, ia memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada kaum ibu dengan mengadakan pelbagai acara bagi menghargai jasa mereka serta meneruskan kesinambungan usaha dan komitmen Kerajaan Negeri dalam membentuk institusi keluarga sebagai mahligai sakinah.

Sempena sambutan hari ibu ini juga, akan diadakan penganugerahan tokoh ibu 2007, dibahagikan kepada 5 kategori yang setiap satu anugerah bersempena dengan nama-nama besar tokoh wanita dalam Islam sebagai satu pengiktirafan kepada kaum wanita.

Antaranya adalah Anugerah Khadijah al-Khuwailid (Kategori ibu bekerja), Anugerah Maryam Ummu Isa (Kategori ibu armalah), Anugerah Asma’ Abu Bakar (Kategori ibu OKU), Anugerah A’ishah al-Humaira’ (Kategori ibu surirumah) serta Anugerah Fatimah Az-Zahra’ (Kategori khas - ibu yang mempunyai anak-anak OKU / penyakit kronik ).

No comments: